SAIC Motor Malaysia mengumumkan bahawa ia akan memulakan operasi pemasangan tempatan bagi kenderaan jenama MG di Malaysia bermula suku pertama 2026. Untuk itu syarikat berkenaan telahpun menandatangani perjanjian dengan EP Manufacturing (EPMB) yang akan memproduksi model-model elektrik penuh (EV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE) jenama MG menerusi kilang pemasangan EPMB di Pegoh, Melaka.
Menurut SAIC Motor Malaysia, dengan bermulanya oeprasi CKD ini ia bakal menawarkan kenderaan-kenderaan dengan harga yang lebih mampu milik, menambah lokalisasi serta akan memendekkan masa menunggu pelanggan yang menempah kereta baharu.
Tiada sasaran produksi diumumkan kerana syarikat itu menyatakan bahawa naik atau turun jumlah produksi akan bergantung kepada permintaan pasaran. Manakala model pertama MG yang akan dipasang di Malaysia disahkan adalah EV, mungkin SUV MG S5 kerana model berkenaan dibawa ke majlis menandatangani perjanjian di Cyberjaya semalam.
Dengan penawaran versi CKD ini harga MG S5 akan kekal kompetitif selepas kerajaan menamatkan insentiif pengecualian duti untuk EV yang diimport sepenuhnya (CBU) pada penghujung tahun ini. Buat masa sekarang MG 5S CBU dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM116,548 untuk varian asas Com yang dibekalkan dengan bateri 49 kWj, RM126,548 untuk varian Com Long Range dengan bateri 62 kWj, dan RM136,548 untuk varian tertinggi untuk varian Lux Long Range.
“Barisan pemasangan kami akan memenuhi sepenuhnya permintaan pelanggan, memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan pantas,” kata pengarah urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi. “Paling penting, kualiti tidak boleh dipandang mudah. Setiap kenderaan yang dipasang secara tempatan akan menjalani pemeriksaan peringkat global yang ketat melalui Program Kualiti SAIC.”
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan SAIC Motor, rakan kongsi OEM kedua yang dimiliki kerajaan kami, untuk melaksanakan pemasangan model MG di Malaysia. Salah satu daripadanya akan menjadi kenderaan elektrik pertama yang dipasang secara tempatan di kilang kami di Melaka. Melalui kerjasama dengan pembekal tempatan, kami akan mempercepatkan usaha lokalisasi, termasuk pemasangan pek bateri untuk kenderaan MG, sekali gus memperkukuh proposisi nilai kami dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pasaran Malaysia,” kata Pengerusi Eksekutif EPMB, En. Hamidon Abdullah.
Dalam majlis yang sama SAIC Motor Malaysia turut mengumumkan bahawa ia kini telah meluaskan lagi jaringan pengedar MG di seluruh negara kepada 26 outlet, termasuk tiga bilik pameran di Sarawak dan 18 pusat servis lain.
The post MG akan mulakan operasi CKD EV dan ICE di Malaysia suku pertama 2026, pasang di kilang EPMB Melaka appeared first on Paul Tan’s Automotive News.