Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan perantara LRT serta MRT, akan menyediakan sebanyak 82 buah bas Rapid KL bagi membawa peminat untuk menyaksikan perlumbaan Petronas Grand Prix of Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 24 hingga 26 Oktober 2025.
Menurut kenyatan yang dikeluarkan, Rapid Bus berkata, perkhidmatan bas khas ini akan beroperasi dari tiga lokasi utama iaitu Hab Bas Pasar Seni (sambungan perkhidmatan ke Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang), Hentian Bas KLCC (sambungan perkhidmatan ke Laluan Kelana Jaya) dan Hab Bas KLIA2 (untuk pengunjung dari KLIA Terminal 2/ KLIA2 dan sambungan ke ERL Express).
“Pengguna boleh membeli tiket secara dalam talian menerusi shop.myrapid.com.my bermula 10 Oktober 2025. Para pengunjung disarankan untuk membuat pembelian awal bagi mengelakkan kesesakan atau tempoh menunggu panjang pada saat akhir,” kata Rapid Bus.
Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan tiket secara terus di lokasi-lokasi berikut yang akan dijual bermula pada 13 Oktober 2025.
Harga tiket bagi laluan Pasar Seni atau KLCC ke SIC ialah RM20 sehala dan RM35 untuk perjalanan pergi-balik, manakala RM12 sehala jika dari KLIA 2 ke SIC.
“Bagi melancarkan pergerakan para pengunjung di lokasi acara, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di sekitar SIC sepanjang tempoh acara berlangsung,” kataya lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas ke Petronas MotoGP Malaysia 2025, sila layari laman web rasmi www.myrapid.com.my atau ikuti saluran media sosial Rapid KL.
The post Rapid KL sediakan perkhidmatan bas ke SIC pada 24-26 Okt untuk Petronas Grand Prix of Malaysia 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.