Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menegaskan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah mengiktiraf sebarang penjualan semula nombor pendaftaran kenderaan di platform tidak rasmi selain menerusi sistem JPJeBid, laporan Berita Harian.

Justeru, beliau menyarankan agar orang ramai mendapatkan nombor pendaftaran hanya melalui saluran rasmi JPJ bagi menjamin ketelusannya.

“Penjualan semula nombor pendaftaran bagi tujuan mengaut keuntungan atas angin selepas bidaan dilaksanakan dengan sah dan teratur adalah urus niaga persendirian dan ia di luar kawalan JPJ.

“Dalam hal ini, JPJ sudah menetapkan kawalan dan pemantauan terhadap pemindahan nama nombor pendaftaran hanya dibenarkan dalam kes tertentu. Contohnya pembida meninggal dunia dan pemindahan nombor pendaftaran kepada ahli keluarga yang terdekat saja,” katanya.

Kenyataan ini dikeluarkan ketika menggulung usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat semalam. Ia juga bagi mengulas kewujudan sindiket penjualan semula nombor dan Sistem eBidding secara dalam talian seperti dibangkitkan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) ketika sesi perbahasan semalam.

Hasbi turut menjelaskan bahawa sistem JPJeBid dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian dan automatik, tanpa campur tangan manusia, yang mana hanya pembida berdaftar dan disahkan identiti dibenarkan menyertai bidaan.

JPJ tidak pernah iktiraf penjualan semula nombor pendaftaran kenderaan selain hanya di JPJeBid

“Sebagai kawalan ke atas pengguna yang memanipulasikan penjualan semula nombor pendaftaran, sistem JPJeBid hanya membenarkan individu iaitu maksimum lima nombor dan bagi syarikat maksimum tiga nombor untuk berjaya bida dalam satu siri bidaan dibuka,” katanya.

Tambahnya, JPJ sentiasa memantau dan bertanggungjawab terhadap pengurusan dan hasil bidaan awam nombor pendaftaran melalui sistem JPJeBid ini.

“Bidaan yang tidak dimanfaatkan iaitu nombor tidak didaftarkan sehingga tamat tempoh, tidak menjejaskan hasil kerajaan, kerana nombor itu akan dikembalikan untuk bidaan semula atau tawaran semula selepas tamat tempoh diberikan kepada pembida asal berjaya.

“JPJ akan sentiasa meneliti dan mengkaji peluasan tambahan bagi mengoptimumkan hasil dan mencegah penyalahgunaan dalam sistem JPJeBid,” katanya.

Beliau turut mengesahkan JPJ sedang dalam proses membangunkan sistem penawaran semula nombor pendaftaran bagi semua kategori baki nombor tidak dijual yang ada dalam rekod Jabatan ini.

“Sistem ini dikenali sebagai sistem eBaki yang merupakan salah satu saluran tambahan yang akan digunakan JPJ bagi menawarkan semula nombor-nombor baki yang ada untuk dijual semula kepada orang ramai,” katanya.

The post JPJ tidak pernah iktiraf penjualan semula nombor pendaftaran kenderaan selain hanya di JPJeBid appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts