Skoda memperkenalkan model edisi terhad untuk hatchback segmen-B Fabia yang digelar sebagai Skoda Fabia 130. Model ini dihasilkan bagi meraikan ulangtahun ke-130 Skoda Auto dan juga warisan sejarah sukan permotoran bagi jenama automotif dari Republik Czech berkenaan.
Fabia dipilih bagi penghasilan model istimewa ini kerana hatchback kompak berkenaan mempunyai sejarah kejayaan dalam disipilin rali – ia telah dihasilkan sebagai jentera rali dalam banyak regulasi FIA termasuk WRCar, S2000 dan yang terbaharu R5/Rally2 serta meraih banyak gelaran juara. Manakala angka ‘130’ pada nama model ini bukan sahaja simbolik 130 tahun Skoda, malah ia adalah angka kuasa kuda yang dibekalkan pada Fabia 130 ini.
Model edisi terhad ini diasaskan dari Fabia Monte Carlo, jadi ia masih digerakkan dengan enjin 1.5 liter TSI Evo2 tetapi ditala semula bagi menghasilkan 177 PS (130 kW) pada takat 5,750 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm.
Jadi berbanding Monte Carlo yang hanya menjana 150 PS (110 kW), Fabia 130 adalah 77 PS lebih berkuasa. Bagi ‘memerah’ kuasa tambahan tersebut, beberapa tingkat taraf telah dibuat oleh pakar-pakar unit rangkaian kuasa di Skoda Technical Development, antaranya dengan menukar komponen termasuk plenum ambilan udara dan juga lengan jumpelang (rocker arm) pada enjin berkenaan.
Enjin tersebut digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan yang juga telah ditala semula untuk memberikan rasa lebih sporty dan sesuai dengan kuasa enjin lebih besar yang dihasilkan. Antara talaan tersebut termasuk titik tukaran gear pada tahap rpm lebih tinggi, tukaran ke gear rendah dengan kesan double clutch dalam mod Sport untuk rasa lebih lancar, dan logik brek yang diubah bagi mendapatkan pecutan semula lebih pantas.
Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Fabia 130 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, atau 0.4 saat lebih pantas dari Fabia biasa. Ia juga membolehkan hatchback kecil ini mencapai kelajuan maksima 228 km/j, didakwa sebagai Fabia produksi paling laju pernah dihasilkan oleh Skoda.
Dengan kuasa lebih besar ini, Fabia 130 turut menerima talaan pengendalian lebih baik. Ia termasuk suspensi lebih sporty serta 15 mm lebih rendah dari versi standard, digandingkan bersama set roda dengan rim aloi 18-inci bagi meningkatkan kawalan serta kestabilannya. Sistem stereng berkuasa Fabia 130 ini juga telah ditala semula bagi memberikan tindak balas yang lebih jitu dan tangkas serta selari dengan talaan baharu yang diberikan pada mod pemanduan Normal dan Sport.
Model edisi khas ini juga menampilkan sistem kawalan dinamik dua-peringkat yang boleh dipilih oleh pemandu. Menerusi fungsi ini, sistem Anti-Slip Regulation (ASR) boleh mematikan Traction Control, seterusnya pemandu boleh memandu secara menggelangsar tetapi masih boleh dikawal. Sekiranya ASR dan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC) ditetapkan pada mod Sport, lebih wheel-spin akan diberikan dengan kawalan ESC akan masuk dengan lebih lambat, memberikan lebih keseronokan pemanduan dalam keadaan terkawal, dakwa Skoda.
Pada bahagian luaran, Fabia 130 ini masih berkongsi kit penggayaan yang sama seperti Fabia Monte Carlo termasuk apron hadapan, skirt sisi, spoiler belakang, penutup cermin sisi serta bumbung berwarna hitam. Apa yang berbeza adalah model istimewa ini diberikan pelekat dengan grafik ‘Fabia 130’ pada fender hadapan, rim aloi-18 Libra kemasan hitam (17-inci paling besar untuk varian lain), angkup brek hadapan kemasan merah, lampu hadapan bi-LED dengan perumah hitam dan juga dua tip ekzos di bawah bampar belakang.
Namun pada sebelah dalam Fabia 130 ini berkongsi rupa hampir sepenuhnya sama seperti Fabia Monte Carlo dengan kelengkapan seperti tempat duduk hadapan bucket larasan kuasa dengan jalur tengah seperti grafik Martini Racing, roda stereng rata di bawah, set pedal logam tahan karat, paparan instrumen digital Virtual Cockpit dengan skrin 10-inci dan juga sistem infotainmen dengan pilihan skrin sesentuh sehingga sembilan-inci.
Hanya sedikit perbezaan diberikan pada Fabia 130 ini menerusi pemadanan perapi bendul pintu aluminium hitam dengan grafik ‘Fabia 130’ dan juga perapi-perapi dengan kemasan perak pada papan pemuka dan juga pemegang pintu. Skoda Fabia 130 ini ditawarkan dalam empat pilihan warna badan iaitu putih, hitam, biru dan merah. Penghantaran pertama kepada pelanggan terawal yang menempahnya di Eropah akan bermula pada Disember ini.
The post Skoda Fabia 130 didedahkan – 1.5L TSI 177 PS/250 Nm, DSG 7-kelajuan, kelajuan maksima 228 km/j! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.