Pusingan akhir Kejohanan E-Racing Toyota Gazoo Racing (GR) Malaysia 2025 bakal berlangsung hujung minggu ini iaitu pada 10 hingga 11 Oktober, yang akan menyaksikan pertembungan 20 pelumba simulator terbaik negara berlumba dalam kategori masing-masing. Perlumbaan ini akan dilangsungkan di Sunway Universiti, di mana pelumba-pelumba akan merebut hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM123,000.
Berbeza dengan kejohanan sebelum ini yang dikenali sebagai GT Cup Malaysia dan hanya menampilkan perlumbaan menggunakan platform Gran Turismo 7, siri kejohanan baharu ini turut menampilkan tiga platform simulator lain iaitu Assetto Corsa, RaceRoom dan juga iRacing. Dengan format baharu ini lebih banyak bakal dapat dicungkil di mana 35% peserta yang dapat mara ke pusingan separa akhir tahun ini adalah muka-muka baharu.
“Pengenalan pusingan kelayakan berbilang platform tahun ini telah meningkatkan persaingan, melahirkan lebih ramai juara serba boleh yang menunjukkan kepelbagaian, kebolehsuaian dan pemikiran strategik. Ia mencerminkan komitmen kami terhadap pembangunan bakat holistik — memupuk individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam sukan permotoran, daya tahan, kepimpinan dan perwatakan yang sama,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.
Kejohanan ini dibahagikan kepada dua kelas iaitu Pro dan Campus Tour. Bagi kelas Pro, ia telah bermula pada Mei lalu dengan tiga pusingan berlangsung bagi memilih 40 pelumba untuk mara ke pusingan suku akhir. Dari situ 20 pelumba terbaik meneruskan cabaran ke peringkat separa akhir bagi menyaring 10 pelumba terbaik untuk bersaing diperingkat akhir.
Manakala bagi kelas Campus Tour, TGR Malaysia telah mengunjungi lapan universiti awam dan swasta di seluruh negara bagi mencari bakat-bakat baharu dalam sukan permotoran. 10 pelumba terpantas di setiap kampus tersebut dipilih untuk menyertai kejohanan nasional ini.
Kejohanan E-Racing Toyota GR Malaysia ini bukan hanya membuka peluang kepada para pemenang untuk bertanding dalam peringkat antarabangsa selepas ini, malah ia juga merupakan antara ‘pintu masuk’ bagi memberikan peluang bagi pelumba-pelumba simulator berkenaan beralih ke perlumbaan kereta sebenar.
Pemenang bagi pusingan akhir tahun ini akan mewakili Malaysia ke Kejohanan TGR Asia Esports GT di Bangkok November ini, bagi bertarung dengan pelumba-pelumba terbaik serantau dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura. Pasukan Malaysia akan tampil ke kejohanan tersebut sebagai juara bertahan selepas juara GR GT Cup Malaysia empat-kali Taj Izrin Aiman dinobatkan sebagai juara pada edisi 2024.
TGR Malaysia juga mula membuka pendaftaran untuk program pembangunan pelumba muda pada pusingan akhir Kejohanan E-Racing Toyota GR Malaysia 2025. Ia dibuka untuk mereka yang berumur 16 hingga 22 tahun dengan pengalaman sebagai pelumba simulator atau kart, di mana peserta terpilih akan dilatih sebagai pelumba dengan berlumba dalam kategori Rookie siri perlumbaan Vios Challenge Malaysia musim 2026.
Setakat ini sebanyak tiga orang pelumba yang dicungkil dari GR GT Cup Malaysia Campus Tour berjaya terpilih dalam program berkenaan, dan kini telahpun bergelar pelumba Touring Car sebenar.
Orang awam dijemput untuk datang ke Sunway University bagi menyaksikan perlumbaan ini secara langsung, dan masuk adalah percuma. Ia juga akan disiarkan secara strim langsung di laman-laman media sosial Toyota Gazoo Racing Malaysia.
Selain dari berpeluang untuk merasai berlumba dengan simulator yang disediakan, pelbagai barangan rasmi Toyota juga akan dijual. Pengunjung juga berpeluang untuk memenangi hadiah berupa pengalaman VIP pusingan akhir perlumbaan Vios Challenge musim ke-8 (termasuk merasai menaiki kereta lumba di dalam Litar Antarabangsa Sepang) yang akan berlangsung pada Januari 2026.
The post Kejohanan E-Racing Toyota GR M’sia; 20 pelumba sim berentap di pusingan akhir 2025 hujung minggu ini! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.