Selepas satu tahun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-09 kini disegarkan semula dengan pilihan satu warna baru iaitu Lightning Blue, melengkapi warna Tech Black sebelum ini. Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk model naked ini adalah RM57,998 tidak termasuk insurans.
Selain pilihan warna ini, bahagian lain tidak melibatkan sebarang perubahan, dengan ia masih sama seperti model yang dilancarkan pada tahun lepas, bermula dengan enjin yang merupakan unit CP3 tiga silinder 889 cc, bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac A&S dan quickshifter, menghasilkan kuasa 119 PS pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.
Selain mod tunggangan tetap Sport, Street dan Rain, MT-09 ini juga mempunyai dua lagi mod yang tahap kuasa serta campur tangan elektroniknya boleh ditetapkan sendiri oleh penunggang. Kawalan untuk semua fungsi pada motosikal dan skrin boleh dibuat melalui butang di sebelah kiri pemegang.
Panel meter MT-09 ini menggunakan unit TFT lima inci yang mempunyai lima tema paparan dan boleh disambungkan kepada aplikasi MyRide (percuma) di telefon bimbit untuk paparan fungsi notifikasi, panggilan, muzik dan navigasi.
Untuk kelengkapan elektronik, MT-09 dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU) 6-axis, yang memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF), Brake Control System (BC) serta Back Slip Regulator.
Suspensi menggunakan fork USD 41 mm serta monoshock yang boleh dilaras sepenuhnya, manakala brek menggunakan pam utama radial Brembo untuk menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm di hadapan. Di belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston. Berat keseluruhan MT-09 2024 adalah 193 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14 liter.
The post Yamaha MT-09 ditawarkan dalam warna baru – RM58k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.