Dalam tempoh seminggu pertama dilancarkan di Malaysia, lebih 100 unit BYD Seal 6 EV telah dihantar kepada pelanggan yang menempahnya. Menjadikan ia sebagai kumpulan pelanggan pertama di luar China yang memiliki sedan EV ini, yang dikenali sebagai Qin L EV di negara asalnya.
“Malaysia berbangga menjadi pasaran antarabangsa pertama yang menyambut kehadiran Seal 6, satu pencapaian penting yang bukan sahaja menandakan kemunculan sebuah kenderaan baharu yang dinamik, tetapi turut mencerminkan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan profesionalisme dan semangat yang tinggi.
“Kami menghargai penyelarasan lancar oleh pasukan kami yang memastikan Seal 6 berjaya dihantar ke seluruh negara tanpa sebarang kelewatan. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membina kepercayaan pelanggan sambil memperluaskan akses terhadap mobiliti elektrik dalam kalangan rakyat Malaysia,” kata Adeline Lew, Pengarah Urusan BYD Sime Motors.
Dalam masa yang sama, BYD Sime Motors turut merancang untuk mengembangkan rangkaian pengedarnya daripada 37 cawangan sedia ada kepada 50 cawangan pada tahun depan, bagi meningkatkan akses kepada jualan, perkhidmatan dan kemudahan pengecasan di seluruh negara.
Untuk pasaran Malaysia, dua varian Seal 6 ditawarkan iaitu Dynamic dan Premium dengan harga masing-masing ialah RM100,000 dan RM115,800. Di peringkat global, ini adalah pengenalan pertama bagi model berkenaan di luar China.
Kedua-dua varian adalah pacuan roda belakang, dengan varian Dynamic menghasilkan 129 PS (95 kW) dan 220 Nm, membolehkannya memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 10.9 saat. Varian Premium pula dipertingkatkan kuasa kepada 218 PS (160 kW) dan 330 Nm, dengan pecutan 0-100km/j hanya 7.5 saat.
Selain itu, kedua-dua varian juga dilengkapi dengan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 56.64 kWh, yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 485 km mengikut kitaran NEDC; namun jangkaannya lebih hampir kepada 410 km mengikut kitaran WLTP yang lebih ketat.
Seal 6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW, yang mengambil masa 23 minit untuk mengecas dari 30% ke 80%. Ia juga menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan dilengkapi dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.7 kW. Untuk mengetahui lebih terperinci mengenai sedan EV ini, anda boleh baca artikel mengenai pelancarannya DI SINI.
BYD Seal 6 EV Premium 2025
The post BYD Seal 6 EV capai penghantaran lebih 100 seunit dalam tempoh seminggu selepas dilancar di M’sia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.