Varian terbaru Tesla Model Y, dikenali sebagai Model Y Standard, telah ditemui lebih awal sebelum pelancaran rasminya. Maklumat ini dikongsi oleh akaun peminat Tesla Newswire di platform X.

Model Y Standard dijangka ditawarkan pada harga permulaan US$39,990 (kira-kira RM168,457) di pasaran Amerika Syarikat. Ia diletakkan sebagai varian paling mampu milik dalam barisan Model Y.

Berdasarkan imej yang terdedah, model ini tidak mempunyai jalur cahaya depan yang menyambungkan kedua-dua lampu utama seperti yang terdapat pada versi terkini Model Y “Juniper”.

Tesla Model Y Standard ditemui sebelum pelancaran – varian lebih mampu milik dengan spesifikasi ringkas
Tesla Model Y Standard ditemui sebelum pelancaran – varian lebih mampu milik dengan spesifikasi ringkas

Menurut Tesla Newswire, Model Y Standard hadir dengan beberapa perubahan yang menjadikannya lebih ringkas dan murah. Antara yang dilaporkan termasuk:

  • Bumbung kaca tertutup (tidak lut cahaya)
  • Rim bersaiz 18 inci
  • Kemasan dalaman asas dengan tempat duduk berbalut fabrik
  • Stereng boleh laras secara manual

Selain itu, skrin utama kekal bersaiz 15.4 inci, namun tiada skrin kedua untuk penumpang belakang, sementara pendingin hawa untuk tempat duduk belakang boleh dilaras secara manual. Penapis udara HEPA digantikan dengan penapis biasa dan ruang bagasi juga dilaporkan sedikit lebih kecil.

Seorang pengguna X bernama ‘Green’ turut mendedahkan beberapa butiran lanjut mengenai model bajet ini, termasuk:

  • Cermin sisi tanpa fungsi lipatan automatik dan lampu genangan air (puddle lamp)
  • Tiada sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • Bumbung dalaman diperbuat daripada gentian kaca yang lebih ringkas
  • Pilihan sistem audio asas atau versi dengan sedikit tambahan
  • Kamera undur tanpa elemen pemanas untuk mencegah kabus
  • Sistem penyaman udara “Airwave” telah dibuang

Model Y Standard ini turut dijangka ditawarkan dalam versi pacuan belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD). Sistem suspensi juga dikatakan lebih ringkas berbanding varian lain.

Tesla baru-baru ini memuat naik video teaser di platform X yang menunjukkan objek berputar dengan logo Tesla di tengah. Ramai berpendapat ia adalah rim, namun ketiadaan skru pengikat menimbulkan spekulasi bahawa ia mungkin penutup rim atau komponen lain.

Video susulan menunjukkan rekaan lampu utama yang dipercayai milik Model Y, namun tanpa jalur lampu tengah — satu lagi petunjuk kepada perubahan reka bentuk bagi varian Standard ini. Banyak lagi maklumat mengenai Model Y Standard dijangka akan didedah pada 7 Oktober.

The post Tesla Model Y Standard ditemui sebelum pelancaran – varian lebih mampu milik dengan spesifikasi ringkas appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts