Beberapa pengeluar tayar antarabangsa akan memberi bantuan dalam proses pemeriksaan dan pengesahan ketulenan terhadap hampir 18,000 unit tayar yang dirampas dalam satu operasi besar-besaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal minggu ini.

Dalam operasi yang dinamakan sebagai Ops Grip itu, sebanyak 17,672 tayar telah dirampas hasil serbuan serentak ke atas 23 lokasi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Serbuan ini menyasarkan syarikat yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport. Aktiviti tersebut dipercayai telah menyebabkan kerugian hasil cukai kerajaan sebanyak RM350 juta sejak tahun 2020.

Ops Grip dijalankan oleh pasukan petugas khas merangkumi pelbagai agensi kerajaan yang memfokuskan kepada syarikat-syarikat pengimport tayar. Operasi ini melibatkan serbuan ke atas beberapa gudang dan kontena penyimpanan tayar, selain tindakan lanjut oleh SPRM yang turut membekukan beberapa akaun bank individu dan syarikat bernilai kira-kira RM70 juta.

Pengeluar tayar antarabangsa akan bantu periksa 18,000 tayar yang dirampas dalam Ops Grip

Menurut satu sumber yang tidak dinamakan dan dipetik oleh Bernama, pemeriksaan bersama pengeluar tayar antarabangsa dilakukan bagi mengenal pasti status dan ketulenan tayar-tayar yang dirampas. Hasil siasatan awal mendapati tayar-tayar seludup ini terdiri daripada pelbagai kategori, termasuk tayar baru yang tidak diisytihar dengan betul, tayar terpakai dan tayar celup yang tidak memenuhi piawaian keselamatan.

Sumber itu turut memaklumkan bahawa aktiviti penyeludupan ini telah dipantau oleh SPRM selama hampir enam bulan sebelum operasi besar-besaran ini dilaksanakan. Siasatan mendapati bahawa sindiket terbabit telah mengemukakan dokumen import yang tidak tepat, termasuk perisytiharan nilai palsu, salah klasifikasi produk atau sijil kualiti yang direka, bagi mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih diteruskan dengan fokus kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang dipercayai diperoleh melalui kegiatan pengubahan wang haram.

The post Pengeluar tayar antarabangsa akan bantu periksa 18,000 tayar yang dirampas dalam Ops Grip appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts