Honda Racing Corporation (HRC) telahpun mendedahkan jentera lumba prototaip Honda Prelude-GT, iaitu jentera lumba kelas GT500 yang akan menggantikan Honda Civic Type R-GT FL5 dalam siri perlumbaan Super GT di Jepun bermula musim 2026. Ini bermakna FL5 GT500 hanya sempat berlumba dalam dua musim Super GT iaitu dalam musim 2024 dan juga 2025.
Pengenalan jentera lumba baharu ini dibuat tidak sampai sebulan model produksi Honda Prelude generasi ke-enam dilancarkan di Jepun. Ia dibina oleh badan pembangunan sukan permotoran utama Honda iaitu HRC Sakura di Jepun, dan sesi ujian litar pertama Prelude-GT Prototype ini telah bermula pagi tadi di Litar Sportsland Sugo.
Tiada sebarang perincian didedahkan oleh HRC, namun seperti diketahui kelas GT500 dalam perlumbaan Super GT kini menggunakan undang-undang FIA Class 1. Oleh itu sudah tentu kereta lumba ini diasaskan dari casis spaceframe yang dibina menggunakan blueprint dari FIA, dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo menghasilkan kuasa sekitar 650 PS diletakkan pada bahagian hadapan, dan memacu sepenuhnya roda belakang.
Apa yang menarik, Prelude yang sememangnya lahir sebagai sebuah Coupe GT dua-pintu nampak lebih sesuai sebagai jentera GT500 berbanding Civic Type R yang secara asasnya merupakan hatchback lima-pintu. Oleh itu Prelude-GT Prototype ini tampil dengan rupa yang lebih tajam, dan bayangan badan sisi yang lebih menarik kerana hadir dengan bumbung yang lebih pendek dan lebih landai.
Bukan hanya lebih cantik, rekaan ini sebenarnya memberikan kelebihan aerodinamik badan yang lebih baik kepada Prelude sebagai jentera lumba berbanding Civic Type R. Menurut ketua projek Super GT HRC Masahiro Saeki dalam laporan Motorsport.com, pasukannya mengambil kesempatan atas pembekuan spesifikasi aerodinamik bagi jentera sedia ada dibuka pada penghujung tahun ini (ditutup semula pada Mac tahun depan) untuk bertukar asas jentera perlumbaan mereka.
“Kami percaya Civic Type R-GT sedia ada boleh ditambah baik untuk tahun depan. Namun, dengan undang-undang sedia ada di mana semua pasukan bertanding dalam tahap yang sangat tinggi, kami nampak potensi untuk mencapai tahap lebih tinggi dari Civic Type R-GT dengan menggunakan pengetahuan yang diperolehi dalam dua tahun kebelakangan ini terhadap pembangunan jentera Super GT berasaskan Prelude,” kata Saeki.
“Tambahan pula, 2026 merupakan tahun dimana pembangunan aerodinamik dibolehkan di bawah undang-undang. Sekiranya kami melepaskan peluang ini bermakna kami perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk pembekuan pembangunan dibuka semula, sebab itulah kami mengambil keputusan untuk mengubah asas kenderaan pada masa ini.
“Kembalinya semula Prelude dengan badan coupe selepas beberapa tahun memberikan kami cabaran dan peluang baharu. Kami turut mensasarkan bagi mendatangkan hasil dalam Super GT agar Honda dapat terus memperkenalkan kereta produksi seperti ini pada masa hadapan. Nantikan prestasi kami pada masa akan datang,” tambahnya.
Jentera Honda Prelude-GT ini akan membuat kemunculan sulungnya dalam perlumbaan pembukaan Super GT 2026 di Litar Okayma pada 11 hingga 12 April tahun depan. Peminat di Malaysia juga bakal dapat menyaksikan jentera ini beraksi secara langsung depan mata kerana Super GT bakal kembali sekali lagi ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas tahun depan menerusi perlumbaan pusingan ketiga yang akan berlangsung pada 18 hingga 20 Jun 2026.
The post Honda Prelude-GT Prototype didedah – jentera lumba GT500 bakal ganti Civic Type R di Super GT 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.