Untuk yang merancang memasuki pusat bandar KL pada hujung minggu ini, dimaklumkan bahawa terdapat beberapa jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup pada 4 hingga 5 Oktober ini bersempena dengan acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marthon (KLSCM) 2025.
Jika sebelum ini, acara larian berprestij tersebut dilaksanakan di Dataran Merdeka, bermakna garisan pemula/penamat (flag-off/finisher) berada di lokasi yang sama. Tapi memandangkan sebahagian Jalan Raja (di mana terletaknya Dataran Merdeka) sedang ditutup sejak 15 September lalu untuk kerja-kerja menaiktaraf Warisan Kuala Lumpur, maka lokasi utama KLSCM 2025 kali ini diubah ke Stadium Merdeka.
Walau bagaimana pun, dimaklumkan bahawa garisan pemula dan penamat bagi semua kategori (kecuali 3km) tidak berada di lokasi yang sama. Di mana acara larian akan bermula di Jalan Raja Laut dan berakhir di Stadium Merdeka.
Pada hari pertama penganjurannya iaitu Sabtu ini (4 Okt), kategori Kids Dash (hanya berlari di dalam Stadium Merdeka sahaja), 5km Fun Run dan Pantai KL 10km diadakan. Sebanyak 13 jalan yang akan ditutup secara berperingkat bermula jam 5 pagi hingga 10 pagi. Laluan yang terlibat ialah Jalan Raja Laut (yang ditutup mulai jam 10 malam pada 3 Okt), Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Kuching, Bulatan Dato Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Dato Onn, Jalan Tun Ismail, Jalan Berjasa, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela dan Jalan Parlimen. Flag-off untuk 10km bermula 6 pagi dan 5km pula pada 7.45 pagi.
Manakala pada Ahad (5 Okt) pula, ia melibatkan dua kategori iaitu 42km Full Marathon yang bermula jam 3.30 pagi dan 21km ASICS Half Marathon pula pada 4.45 pagi. Ia melibatkan 29 jalan yang akan ditutup secara berperingkat termasuk Jalan Raja Laut yang ditutup mula jam 10 malam dan Jalan TAR/Jalan Sultan Ismail jam 11 malam pada 4 Okt. Jalan-jalan lain yang terlibat pula akan ditutup mulai 3 pagi pada 5 Okt ialah Jalan Bukit Bintang. Jalan Pudu, Jalan Imbi, Jalan Raja Laut / Jalan Sultan Ismail, Susur keluar ke Jalan Sultan Ismail dari arah utara & selatan, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Muda Abd dan Jalan Raja Abdullah.
Lain-lain laluan yang terlibat ialah Jalan Dang Wangi ke Jalan Ampang, sepanjang Jalan Sultan Ismail kedua hala, Jalan P.Ramlee / Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang / Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang / Jalan Sultan Ismail (dari arah Jalan Tun Razak), Jalan Perak/ Jalan Sultan Ismail dan Jalan P.Ramlee / Jalan Ampang.
Ia turut melibatkan Jalan Tun Razak / Jalan Ampang (Dari arah Bulatan Kg. Pandan), Jalan Tun Razak/ Jalan Ampang (Dari arah IJN), Jalan Ampang / Jalan Tun Razak, Jalan Ampang Hilir / Jalan Ampang / Jalan Jelatek, Lebuh raya AKLEH kedua hala, Lebuh raya DUKE arah Utara / Jalan Duta, Jalan Kuching (Dari Arah Selayang), Bulatan Segambut, Jalan Tun Razak / Jalan Kuching (PWTC), Jalan Kinabalu / Bulatan Dato Onn dan Jalan Maharajalela.
Memandangkan banyak jalan utama ditutup dan ruang parkir pasti terhad, para peserta dinasihati menggunakan pengangkutan awam seperti tren LRT dan MRT. Rapid KL bakal mengumumkan kedua-dua perkhidmatan rel berkenaan akan beroperasi lebih awal dari waktu biasa pada kedua-dua tarikh berkenaan.
Bagi orang ramai yang ingin memasuki pusat bandar pada hujung minggu ini, sila rancang perjalanan anda sewajarnya. Tolong patuhi arahan pihak polis dan petugas di lokasi, serta fokus dan berhati-hati dalam pemanduan.
The post Beberapa jalan utama di KL akan ditutup pada 4-5 Oktober sempena Standard Chartered Marathon 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.