Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) mengumumkan bahawa terdapat penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan pada Sabtu ini, 27 September 2025. Ia adalah sempena dengan perlawanan Piala Sultan Selangor 2025 yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada jam 9 malam yang melibatkan pertemuan antara pasukan Selangor dan Singapura.
Timbalan Ketua Polis KL, DCP Dato’ Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, laluan terbabit ialah Jalan Maharajalela (Bulatan Merdeka), Jalan Hang Tuah (susur masuk ke Jalan Hang Jebat), Jalan Hang Jebat, Jalan Stadium dan Jalan Merdeka. Di mana penutupan dan lencongan jalan raya secara berperingkat itu bermula jam 2 petang sehingga tamat perlawanan.
Tambahnya, seramai 115 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya serta penyokong yang hadir.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda dan arahan anggota polis yang berada di lokasi. Orang ramai turut digalakkan menggunakan pengangkutan awam untuk ke Stadium Merdeka bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267 / 0269 atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
The post Piala Sultan Selangor 2025 – Lima jalan utama di ibu kota ditutup berperingkat mulai 2 petang pada 27 Sept appeared first on Paul Tan’s Automotive News.