Kerajaan membelanjakan sebanyak RM15,491,876.58 setahun bagi kos keseluruhan penyelenggaraan sistem Automated Awareness Safety System (AwAS), kata Menteri Pengangkutan (MoT) Anthony Loke. Di mana kos tersebut merangkumi perkhidmatan dan penyelenggaraan kamera, sistem back office dan cetakan saman AwAS.

“Berdasarkan kajian yang telah dijalankan pihak MIROS bagi tempoh 2014 hingga 2018, impak pemasangan kamera Awas telah meningkatkan kadar pematuhan (Perception Of Being Caught – POBC) sehingga 99% di lokasi-lokasi yang dipasang dan dikuatkuasakan dengan kamera AwAS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan dikemukakan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) di Dewan Rakyat semalam yang ingin mengetahui jumlah perbelanjaan keseluruhan bagi pelaksanaan dan penyelenggaraan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan dengan kos yang telah dibelanjakan.

Selain itu, Mohd Hasnizan juga ingin mengetahui sejauh mana impaknya benar-benar berkesan dalam mengurangkan kesalahan lalu lintas sama ada hanya terhad di lokasi pemasangan atau memberi kesan menyeluruh.

Pada awal Januari lalu, Loke berkata kamera AwAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini. Di mana pelaksanaan tersebut bagi membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.

The post Kamera AwAS diselenggara dengan kos keseluruhan hampir RM15.5 juta dalam setahun – Menteri MoT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts