Sub-jenama Chery, iCaur hari ini telah mengumumkan bahawa ia telahpun membuka hab komponen alat ganti untuk kenderaan jenama itu di Shah Alam Hicom Industrial Estate. Fasiliti dengan keluasan 88,000 kaki persegi tersebut diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama satu lagi sub-jenama gergasi automotif China tersebut iaitu Omoda | Jaecoo Malaysia.

Jenama iCaur ini telahpun dilancarkan di Malaysia pada Mei lalu, namun model pertamanya yang akan ditawarkan ke pasaran tempatan iaitu SUV EV iCaur 03 hanya akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

“Gudang Chery Corporate Malaysia yang terletak di tengah adalah penting dalam menyokong rangkaian pengedar iCaur yang semakin berkembang, di mana ia tidak lama lagi akan merangkumi tidak kurang daripada 16 rakan kongsi pengedar di seluruh negara, dengan pengembangan selanjutnya dirancang pada 2026,” kata naib presiden iCaur Malaysia, Emily Lek.

“Semangat falsafah ‘Born to Play’ iCaur bermakna kami juga dilahirkan bersedia. Dengan membina portfolio alat ganti dan komponen kami secara berterusan dan disokong oleh pemain automotif global dengan rantaian bekalan yang mantap, iCaur Malaysia bersedia untuk berkembang bersama rangkaian kami dalam masa yang sama mengukuhkan standard perkhidmatan selepas jualan premium yang diharapkan oleh pelanggan kami yang bijak,” tambahnya.

iCaur Malaysia umum sudah buka hab alat ganti di Shah Alam sebelum model pertama dilancarkan di sini
iCaur Malaysia umum sudah buka hab alat ganti di Shah Alam sebelum model pertama dilancarkan di sini

iCaur Malaysia memberitahu bahawa sudah terdapat lebih dari 10,000 alat ganti dan komponen dalam inventori hab berkenaan bagi mengukuhkan kesediaannya terhadap servis selepas jualan yang responsif dan cekap menjelang pelancaran iCaur 03 ke pasaran tempatan.

Kenyataan yang dikeluarkan turut menyebut bahawa fasiliti ini berada di landasan yang betul bagi menyokong servis-servis selepas jualan serantau kerana Chery International sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pusat bagi model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) di ASEAN.

“Ia turut selari dengan sasaran mobiliti Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 – memajukan teknologi kenderaan generasi seterusnya (NxGV) dan memupuk inovasi dalam ekosistem automotif,” kata kenyataan itu lagi.

The post iCaur Malaysia umum sudah buka hab alat ganti di Shah Alam sebelum model pertama dilancarkan di sini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts