Geely akhirnya telah mengesahkan kehadirannya ke pasaran United Kingdom, dan mengumumkan ia akan melancarkan model pertamanya di sana bermula dengan SUV EV Geely EX5 pada suku keempat tahun ini. Buat masa sekarang Geely mendedahkan bahawa SUV tersebut masih dalam peringkat penyesuaian kegunaannya untuk jalan raya di UK, dan ia mendapat kerjasama dari pembuat kereta sport yang berasal dari negara tersebut iaitu Lotus.

“Kami tahu Geely EX5 ialah produk hebat dengan beberapa ciri utama yang akan menarik minat pelanggan Britain. Itulah sebabnya kami memilihnya sebagai kereta penumpang pertama kami untuk dijual di UK. Namun, kami sedar bahawa pelanggan UK mempunyai permintaan yang unik,” kata bos Geely Auto UK Mike Yang.

“Oleh sebab itu, sebelum kami mengeluarkan kereta ini untuk jualan, kami bekerjasama dengan pakar di Lotus Engineering untuk memastikan kami mempunyai kereta yang setara dengan jangkaan. Lotus Engineering mempunyai rekod prestasi yang mengagumkan bersama beberapa sumber R&D terbaik, jadi kami gembira dapat bekerjasama rapat dengan mereka,” tambahnya lagi.

Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

Lotus Engineering merupakan salah satu divisi dalam Lotus yang menyediakan khidmat kejuruteraan dan konsultansi kepada pengeluar-pengeluar automotif lain bagi membuat kerja-kerja kejuruteraan termasuk talaan suspensi dan pengendalian.

Antara model-model yang pernah mendapat sentuhan badan berkenaan sebelum ini termasuk Vauxhall Astra generasi ketiga dan Hyundai Genesis 2015. Ada juga model yang mendapat sentuhan lebih eksklusif dengan menerima lencana “Handling by Lotus” seperti Isuzu Piazza, malah ada model yang mendapat talaan lebih serius termasuk penambahan kuasa, di mana nama pembuat asalnya di ketepikan dan terus menerima lencana Lotus seperti Lotus Cortina (dari Ford Cortina Mk1) dan juga Lotus Carlton/Omega (dari Vauxhall Carlton/Opel Omega).

Lotus juga pernah mencorakkan DNA pengendalian untuk Proton selepas jenama automotif Malaysia berkenaan menjadi pemilik Lotus pada tahun 1996. Proton Satria GTI dan Perdana V6 menjadi model terawal Proton yang menerima lencana “Handling by Lotus”, manakala model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton selepas itu termasuk Proton Waja, Gen2, Satria Neo dan lain-lain bukan hanya menerima talaan suspensi dari Lotus, malah Handling by Lotus tersebut diterapkan bermula dari pembangunan kerangka badan.

Namun Lotus terlepas ke tangan Geely ketika Proton menghadapi krisis kewangan dan memeterai perjanjian untuk menjadi rakan strategik jenama automotif China berkenaan pada 2017.

Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

Geely EX5 merupakan model yang didakwa dibangunkan bersama Proton, di mana ia turut dikenali sebagai sebagai Proton eMas 7 di Malaysia dan beberapa pasaran eksport Proton seperti di Singapura dan Nepal. Ia merupakan model global pertama Geely yang terus diperkenalkan dalam versi pemanduan kiri (LHD) dan kanan (RHD), membolehkan Geely terus masuk ke pasaran RHD seperti Thailand, Indonesia dan Australia tidak lama selepas ia dilancarkan di China (dikenali sebagai Geely Galaxy E5).

Sebelum ini Geely ada mengatakan bahawa bagi model-model pasaran global, EX5 akan menggunakan talaan suspensi yang sama dibuat oleh Proton untuk eMas 7. Namun nampaknya tidak semua pasaran tersebut diberikan talaan suspensi yang dibangunkan oleh Proton berkenaan, contohnya pada model pasaran UK ini dan juga pasaran Australia yang turut menerima talaan suspensi tersendiri.

Buat masa sekarang Geely masih belum mengumumkan perincian lain berkenaan spesifikasi EX5 pasaran UK berkenaan, namun dijangka ia akan menyamai versi-versi pasaran eksport yang lain termasuk Proton eMas 7. Dalam kebanyakkan pasaran, SUV ini menerima menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm yang hanya memacu roda hadapan serta menerima bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 60.22 kWj, memberikan jarak gerak sehingga 430 km (WLTP)

The post Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts