81,800 saman dikeluarkan antara 1-20 Okt menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU) – Ketua Polis KL

Dalam tempoh 20 hari pertama penguatkuasaannya, Polis KL telah mengeluarkan sebanyak 81,880 saman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU) yang dilaksanakan sejak 1 Okt 2025.

Saman yang dikeluarkan itu terdiri daripada pelbagai kategori pengguna jalan raya termasuk 66,859 pemandu kereta, 11,346 penunggang motosikal, 1,142 pemandu van atau SUV, 757 pemandu lori, 109 pemandu bas, 625 pemandu teksi, serta 1,042 pejalan kaki, laporan Berita Harian.

“Angka yang direkodkan itu menunjukkan bahawa walaupun kempen kesedaran dan pemantauan dijalankan selama sebulan sebelum itu, namun masih ramai pengguna jalan raya enggan mengubah sikap mereka. Jika trend ini berterusan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, ia akan menunjukkan bahawa kempen dan program kami gagal mendorong perubahan sikap,” kata Ketua Polis KL, Datuk Fadil Marsus pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

81,800 saman dikeluarkan antara 1-20 Okt menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU) – Ketua Polis KL

Tambah beliau, kesalahan paling banyak direkodkan ialah halangan lalu-lintas (54,364), ingkar isyarat trafik (16,891), memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh (2,388), cukai jalan tamat tempoh (1,501), kesalahan pejalan kaki seperti tidak menggunakan jejantas atau lintasan (1,042), dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau tersembunyi (1,000).

Kesalahan lain termasuk berhenti melepasi garisan putih (575), melanggar lampu merah (541), tidak memakai atau tidak memasang topi keledar dengan betul (513), menggunakan telefon bimbit semasa memandu (395), berhenti di petak kuning (367), ubah suai kenderaan (312), tidak memakai tali pinggang keledar (296), serta memotong barisan atau melanggar garisan berkembar (44).

“Kita mahu warga kota membudayakan sikap berdisiplin yang mencerminkan rasa hormat terhadap undang-undang, termasuk peraturan trafik kecil. Orang ramai mesti ikut peraturan dan perlu bermula sekarang jika tidak, tiada sebarang penambahbaikan akan berlaku.

81,800 saman dikeluarkan antara 1-20 Okt menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU) – Ketua Polis KL
81,800 saman dikeluarkan antara 1-20 Okt menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU) – Ketua Polis KL

“Op PUU akan dikuatkuasakan secara menyeluruh dan berterusan sepanjang tahun, dengan pembabitan semua agensi dan jabatan berkaitan di Kuala Lumpur. Orang ramai khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi undang-undang kerana peraturan itu diwujudkan demi keselamatan semua. Walaupun polis tidak mahu terlalu bergantung kepada tindakan saman sebagai langkah pencegahan, kami tiada pilihan lain sekiranya pendidikan semata-mata tidak berkesan,” katanya.

Menurut beliau lagi, jika tahap pematuhan tidak menunjukkan peningkatan, polis akan membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi untuk mendapatkan sokongan dasar dan inisiatif baharu, sambil menekankan keperluan kerjasama semua kementerian dan sektor masyarakat bagi memupuk rasa hormat terhadap undang-undang.

Pada peringkat awal, Op PUU dilaksanakan di kawasan tumpuan utama seperti Pavilion, KLCC, Lot 10, Sogo dan Jalan Sultan Ismail sebelum diperluas ke seluruh ibu kota. Di mana penguatkuasaan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan sepanjang tahun bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi contoh bandar raya yang patuh undang-undang.

The post 81,800 saman dikeluarkan antara 1-20 Okt menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU) – Ketua Polis KL appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts