Sebanyak 4,423 kes langgar lampu isyarat direkodkan di Terengganu sepanjang tempoh Januari sehingga Disember tahun lalu. Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zamri Samion, berdasarkan pecahan data tersebut, penunggang motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 3,348 kes, diikuti pemandu kereta dengan 917 kes.

Jelasnya lagi, ​lain-lain kenderaan pula mencatatkan 106 kes, kenderaan barangan (49 kes) dan kenderaan perkhidmatan awam sebanyak tiga kes.

Justeru, pihaknya mencadangkan agar kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dipasang di laluan berisiko tinggi dan lokasi kerap kemalangan atau black spot di negeri terbabit.

Katanya, langkah itu penting bagi menurunkan kadar kelajuan kenderaan selain meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan ditetapkan.

“Sselain pemasangan kamera, penambahbaikan fasiliti di laluan berisiko seperti pemasangan jalur bergetar (rumble strip) juga perlu diberi perhatian untuk mengurangkan kadar kelajuan kenderaan sekali gus meminimumkan risiko nahas.

4,423 kes langgar lampu isyarat di T’ganu pada 2025, JPJ cadang pasang kamera AWAS di black spot

​”Di peringkat JPJ, mungkin kita boleh cadangkan pemasangan kamera AwAS di laluan-laluan yang kita lihat tinggi risiko dan menjadi black spot kemalangan. Langkah berkesan perlu diambil bagi menurunkan kadar kelajuan pemandu di kawasan tersebut,” katanya dalam temubual bersama akhbar Sinar Harian.

Walau bagaimana pun, katanya, status lokasi black spot perlu disahkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). “Namun kekerapan kemalangan di kawasan itu memerlukan tindakan segera daripada semua pihak. Sepertimana kes yang berlaku baru-baru ini, kita anggap laluan itu sebagai kawasan berisiko. Kita tidak pasti lagi sama ada PDRM dah jadikan kawasan itu sebagai black spot kerana terdapat kaedah bagi menjustifikasikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes kemalangan membabitkan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Syakirah Hanan Mazli, yang meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya dilanggar oleh sebuah Honda Jazz di simpang empat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil, Isnin lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Deputi Komisioner Azli Mohd Noor, berkata, hasil siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu mangsa terdahulu berhenti di lampu isyarat di simpang empat terbabit. Bagaimanapun ketika kereta itu membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, ia dilanggar Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan. ​Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

The post 4,423 kes langgar lampu isyarat di T’ganu pada 2025, JPJ cadang pasang kamera AWAS di black spot appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts