Setakat ini, ada sejumlah 4.841 juta saman JPJ yang telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang belum dilunaskan oleh pesalah, melibatkan jumlah sebanyak RM1.45 bilion. Dan, semua pesalah ini berkemungkinan akan disenarai hitam atau dihadapkan ke mahkamah tahun depan jika masih gagal menyelesaikan saman mereka.

Angka tersebut dikongsikan oleh Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, yang mendedahkan hanya 583,281 notis saman telah diselesaikan setakat ini di bawah inisiatif diskaun oleh kerajaan, yang diterjemahkan kepada jumlah keseluruhan RM77.27 juta, lapor Borneo Post.

Kerajaan menawarkan diskaun saman 50% bagi saman JPJ yang masih tertunggak, dan diskaun 70% bagi saman polis hingga 30 Disember ini. Bermula tahun depan, tiada lagi program diskaun saman yang akan diberikan, kerana kerajaan akan beralih kepada struktur saman baru dengan pendekatan “segera dibayar, lebih murah” denda yang dikenakan.

Bermula 1 Januari 2026, kompaun yang dibayar dalam tempoh satu hingga 15 hari layak menerima pengurangan 50%, sementara 33% pengurangan diberikan kepada mereka yang membayar dalam tempoh antara 16-30 hari. Kadar kompaun penuh akan dikenakan kepada mereka yang membayar dalam tempoh 31-60 hari, sementara pesalah akan disenarai hitam atau dihadapkan ke mahkamah sekiranya saman masih gagal dibayar dalam tempoh selepas 61 hari tersebut.

Secara ringkas, pesalah trafik yang enggan menjelaskan saman mereka akan berdepan dengan tindakan tegas, sama ada dihadapkan ke mahkamah atau tidak lagi boleh memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) mereka. Dan, hanya tinggal baki tempoh seminggu sahaja lagi untuk anda melunaskan saman yang tertunggak sedia ada, sebelum kaedah baru digunapakai bermula 1 Januari 2026.

The post 4.84 juta saman JPJ belum dibayar, diskaun 50% akan berakhir, pesalah boleh disenarai-hitam tahun depan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts