Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendedahkan berdasarkan statistik pada tahun 2025, sebanyak 31 kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh alkohol, manakala sejumlah 27 kes pula direkodkan pada tahun sebelumnya, laporan Berita Harian.

“Walaupun peningkatan ini tidak terlalu ketara, namun setiap kes berlaku membawa implikasi kehilangan nyawa yang amat serius dan seharusnya tidak dipandang ringan. Hakikatnya, kes sebegini berpunca daripada tingkah laku yang boleh dielakkan, justeru JSPT memandang perkara ini dengan penuh keprihatinan dan kesungguhan,” kata Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali.

Untuk menangani isu pemandu mabuk ini, Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi sekatan jalan raya (SJR) secara meluas khususnya di lokasi dan waktu berisiko tinggi seperti pada lewat malam serta hujung minggu bagi mengesan pemandu mabuk.

31 kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, pengaruh dadah pada 2025, SJR dipertingkat – polis

Jelasnya, operasi bersepadu yang berimpak tinggi itu bukan saja mampu mengesan pesalah secara langsung, malah memberikan kesan pencegahan psikologi kepada pengguna jalan raya.

“Kehadiran pihak berkuasa secara konsisten di lokasi dan waktu berisiko tinggi turut meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang,” katanya.

Mengenai kekangan dihadapi JSPT dalam isu pemandu mabuk, Muhammed Hasbullah berkata, tiada masalah besar dari sudut undang-undang mahupun siasatan. Tambahnya, kerjasama erat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) membantu memastikan setiap pendakwaan mendapat perhatian sewajarnya.

“Sokongan padu daripada pihak pendakwaan membolehkan proses siasatan dan pendakwaan dijalankan lebih lancar dan berkesan. Cabaran utama dihadapi bukan sekadar dari sudut penguatkuasaan di lapangan, tetapi lebih kepada membentuk kesedaran, tanggungjawab dan nilai moral dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

The post 31 kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, pengaruh dadah pada 2025, SJR dipertingkat – polis appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts