Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan data pendaftaran kenderaan terkini bagi bulan Oktober 2025, dan bukanlah kejutan apabila Perodua Bezza menjadi model kenderaan paling laris di Malaysia dan sedan kompak itu menghampiri angka jualan cecah 10,000 pada bulan lalu!

Jumlah keseluruhan jualan bagi Bezza mencecah sebanyak 9,990 unit hanya kurang 10 unit daripada paras 10,000, dan walau pun usianya hampir mencecah sedekad selepas diperkenalkan buat pertama kalinya pada Julai 2016 dengan model facelift terkininya dilancarkan pada Januari 2020, namun jualannya dilihat kian kukuh.

Bezza sering menjadi bahan sindiran dalam kalangan peminat kereta, terutamanya apabila tiba “musim Saga”, tetapi ramai peminat automotif gagal memahami bahawa pengguna biasa dalam segmen ini lebih mementingkan kecekapan bahan api dan kebolehpercayaan (sebagai makluman, ADAS telah tersedia sejak 2020). Dan apabila tiba masa untuk menjual semula, nilai jualan semula juga menarik. Nilai ini, yang sering disindir oleh segelintir kecil peminat kereta, sebenarnya mencerminkan permintaan pasaran yang tinggi terhadap kereta terpakai jenama Perodua yang disokong oleh sebab-sebab yang sama seperti dinyatakan ini.

20 model terlaris bagi Okt 2025 – Bezza hampiri angka 10k, Saga di tangga kedua; HR-V atasi Corolla Cross

Klik untuk besarkan

Prestasi Proton Saga juga masih cemerlang. Pada September, pesaing bagi Bezza ini berjaya memecahkan dominasi podium Perodua dengan menduduki tempat kedua dalam carta jualan, dan ia mengekalkan kedudukan tersebut pada bulan Oktober dengan 7,825 unit terjual.

Perlu diingat bahawa ini adalah model Saga semasa, yang akan digantikan tidak lama lagi dengan versi MC3 2026. Model yang telah dipertingkat itu akan hadir dengan enjin 1.5L baharu, reka bentuk dalaman yang lebih mewah (untuk segmen ini), serta sistem ADAS. Namun, pelancarannya yang lewat dalam tahun ini menjadikannya sukar untuk mencabar kedudukan Bezza bagi tahun 2025 — tetapi persaingan dijangka menarik pada tahun depan.

Selepas Saga, senarai diteruskan dengan keseluruhan barisan model Perodua kecuali Aruz (di tempat ke-11). Dari tempat ketiga hingga keenam ialah Axia, Myvi, Alza dan Ativa. Model bukan nasional yang berada di kedudukan tertinggi ialah Toyota Vios di tempat ketujuh (2,793 unit), mengatasi Honda City (termasuk versi sedan dan hatchback) di tempat ke-10 dengan 2,508 unit. Bercakap tentang sedan segmen-B, Proton S70 yang menawarkan lebih banyak ciri tetapi dijual pada harga setanding dengan Vios dan City — berada di tempat ke-14 dengan hanya 1,402 unit.

20 model terlaris bagi Okt 2025 – Bezza hampiri angka 10k, Saga di tangga kedua; HR-V atasi Corolla Cross

Klik untuk besarkan

Proton meletakkan harapan tinggi terhadap S70, yang dijangka akan mengambil alih kedudukan X50 sebagai model kedua paling laris jenama itu selepas Saga. Namun, perkara itu tidak menjadi kenyataan – jualan bulanan S70 hanya melepasi paras 2,000 unit sekali sahaja tahun ini, dan X50 (yang kini telah menerima kemas kini) berada di kedudukan lebih atas pada bulan Oktober dengan 2,693 unit, di tempat kelapan secara keseluruhan, serta mendahului dalam jumlah jualan tahunan setakat ini (YTD).

Di bahagian bawah carta, dua SUV utama Honda mengatasi pesaing masing-masing bagi bulan lalu. HR-V (1,539 unit, tempat ke-13) mengatasi Toyota Corolla Cross (1,323 unit, tempat ke-15), manakala CR-V (949 unit, tempat ke-19) mendahului Jaecoo J7 (806 unit, tempat ke-20). Dalam carta jualan tahunan setakat ini, HR-V masih di hadapan Corolla Cross, tetapi CR-V berada di belakang J7. Proton eMas 7, yang membuat kemunculan pertama dalam kelompok 20 teratas pada bulan September, gagal mengekalkan kedudukannya berdekatan dengan kumpulan kenderaan ICE bulan lalu, walaupun ia merupakan kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia.

Melihat kepada carta jualan tahunan setakat ini, kedudukan di tangga pertama dan kedua yang dimonopoli Bezza dan Axia hampir pasti, namun Myvi kini mengekalkan tempat ketiganya dengan margin yang sangat tipis. Saga hanya kurang daripada 2,000 unit di belakang dan sedang mengintai peluang podium — adakah model baharu mampu memecut ke tempat ketiga dalam masa sebulan lagi? Tapi bergantung pada tarikh pelancaran dan kebolehupayaan Proton ‘memecut’ bagi melonjakkan kapasiti pengeluarannya.

The post 20 model terlaris bagi Okt 2025 – Bezza hampiri angka 10k, Saga di tangga kedua; HR-V atasi Corolla Cross appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts