Mesti ramai yang tertunggu-tunggu senarai kereta paling laris untuk bulan Januari 2026 menerusi data pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebab nak tengok sama ada Proton Saga dapat pintas Perodua Bezza atau pun tidak kan? Dan jawapannya, ya – dengan tempahan kini dilaporkan mencecah 100,000 unit dan disambut dengan kerja keras kilang Proton di Tanjong Malim, Proton Saga MC3 kini merupakan model paling laris di Malaysia dengan terjual sebanyak 10,285 unit sepanjang bulan lalu!
Saga ‘memaksa’ Bezza yang sekian lama berada di atas untuk turun ke tempat kedua dengan jumlah pendaftaran sebanyak 8,431 unit, serta sekaligus untuk menolak Perodua Axia jatuh ke tempat ketiga dengan pendaftaran 6,581 unit dan Perodua Myvi berada di tempat keempat dengan jumlah jualan 4,819 unit.
Tambah menceriakan kem Proton untuk bulan lalu apabila EV mampu milik jenama tersebut iaitu Proton eMas 5 menjadi EV pertama yang masuk ke senarai Top 5 kereta paling laris di Malaysia dengan berada di tempat ke lima pada Januari 2026, dengan mencatatkan jualan sebanyak 3,068 unit.
Tempat ke-enam diisi oleh Perodua Alza dengan pendaftaran sebanyak 3,012 unit. Ia diikuti oleh SUV segmen-B Proton X50 yang berada di tempat ke-tujuh terjual 2,411 unit, atau sekitar 500 unit lebih laris dari saingan sekelas iaitu Perodua Traz yang baru dilancarkan pada bulan September, yang mencatatkan jualan sebanyak 1,901 unit sepanjang Januari 2026 untuk berada di tempat ke-lapan.
Satu lagi model Proton berada dalam kedudukan Top 10 untuk bulan lalu iaitu sedan segmen-C Proton S70 terjual sebanyak 1,604 unit bagi meletakkannya di tempat ke-sembilan. Manakala model bukan nasional paling laris untuk Januari 2026 adalah trak pikap Toyota Hilux yang berada di tempat ke-sepuluh dengan rekod pendaftaran sebanyak 1,338 unit.
Seperti biasa JPJ mencampurkan sekali jumlah jualan bagi model Honda City sedan dan Hatchback, dan merekodkan pendaftaran sebanyak 1,231 unit, berada di tempat ke-11 atau lebih tinggi dari Toyota Vios yang berada di tempat ke-13 dengan jualan sebanyak 1,134 unit. Manakala MPV mewah Toyota Alphard ‘menyelit’ di tempat ke-12 dengan rekod pendaftaran 1,164 unit – seperti biasa, rekod untuk Alphard turut termasuk unit-unit yang dijual sebagai model recond dari Jepun.
Rekod JPJ ini juga menghimpunkan sekali Chery Tiggo dari model Cross, 7 dan 8 sebagai satu model, di mana secara kumulatif ketiga-tiga SUV segmen-A, -C dan -D ini terjual sebanyak 1,054 unit untuk berada di tempat ke-14. Manakala jualan untuk SUV segmen-A Perodua Ativa yang selama ini sentiasa berada dalam senarai Top 10, jatuh ke tempat ke-15 pada Januari 2026 dengan jualan hanya 1,012 unit.
Sedan segmen-B Proton Persona yang kini sudahpun masuk tahun ke-10 pengeluarannya masih gagah berada dalam senarai Top 20 Januari 2026 pada kedududkan ke-16 dengan jualan sebanyak 939 unit. Ia diikuti oleh Toyota Corolla Cross, Honda HR-V dan Mitsubishi Xpander yang berada di tempat ke-17, -18 dan 19 dengan jumlah jualan masing-masing 883, 838 dan 810 unit.
Manakala SUV segmen-C dari China iaitu Jaecoo J7 menutup senarai ini dengan berada di kedudukan ke-20, terjual sebanyak 779 unit.
The post 20 kereta terlaris Jan 2026 – Proton Saga no.1, eMas 5 EV pertama dalam Top 5, X50 lebih laris dari Traz appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















