Angka terbaru daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan Perodua telah mengungguli carta jualan bagi tahun 2025 dengan mencatatkan sebanyak 359,905 unit, mewakili peningkatan 0.5% berbanding pada 2024.

Penyumbang utama kepada pencapaian tersebut ialah Bezza, yang merekodkan jualan sebanyak 100,488 unit sepanjang tahun lalu, mendahului model-model lain Perodua seperti Axia (84,291 unit). Untuk angka jualan bulanan pula, Bezza mendahului hampir pada setiap bulan, kecuali Januari 2025 ketika Axia memintas dengan jualan 7,096 unit pada bulan itu, berbanding 5,106 unit untuk Bezza.

Myvi pula mencatatkan kedudukan ketiga teratas untuk Perodua, dengan mencatatkan jualan sebanyak 72,724 unit tahun lalu. Perodua menduduki lima daripada enam kedudukan teratas, dengan Alza dan Ativa masing-masing di kedudukan kelima dan enam, dengan angka 45,534 unit dan 38,609 unit.

Proton Saga menduduki tempat keempat pada tahun 2025 dengan sejumlah 70,903 unit terjual tahun lalu; 2,000 unit kurang daripada jumlah yang dicapai oleh Perodua Myvi. Bagaimanapun, Saga MC3 terbaru hanya dilancarkan pada 27 November dalam tiga varian; yang terjual sebelum itu adalah Saga lama.

20 kereta terlaris 2025 — Bezza terjual lebih 100k unit, Saga ke-4 dengan 71k unit, Vios/City atasi Proton S70

Dalam segmen B, Toyota Vios terus mendahului serta membolehkannya menduduki tempat ketujuh keseluruhan dengan jualan sebanyak 31,776 unit pada 2025. Ia disaingi rapat oleh Honda City – untuk versi sedan dan hatchback — yang menduduki tempat kesembilan keseluruhan dengan jualan 27,107 unit.

Dalam segmen tersebut juga, model Toyota dan Honda mengatasi jualan Proton S70, penawaran segmen C yang diberikan harga dalam segmen B. Sejumlah 17,166 unit S70 terjual sepanjang tahun lalu.

Jaecoo J7 menjadi satu-satunya model pengeluar China yang termasuk dalam senarai 20 teratas ini, dengan mencatatkan jualan sebanyak 11,520 unit tahun lalu, yang membolehkannya berada di depan Honda CR-V yang terjual sebanyak 10,735 unit. Berada di kedudukan terakhir adalah Mitsubishi Xpander dengan 9,102 unit.

The post 20 kereta terlaris 2025 — Bezza terjual lebih 100k unit, Saga ke-4 dengan 71k unit, Vios/City atasi Proton S70 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts