Data pendaftaran kereta baharu untuk bulan Mac 2026 dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dah pun dikeluarkan, dan ini adalah senarai 20 kereta paling laris di Malaysia sepanjang bulan lalu yang dibuat berdasarkan data berkenaan.

Untuk bulan lalu, Perodua Bezza masih lagi kereta paling laris di Malaysia dengan terjual sebanyak 7,493. Ia diikuti oleh satu lagi model dari Perodua iaitu Axia, berada di tempat kedua dengan terjual sebanyak 5,774 unit. Proton Saga yang sebelum ini dijangka boleh mengatasi Bezza, nampaknya jatuh satu lagi anak tangga pada Mac – terjual hanya 5,398 unit, Saga hanya berada di tempat ketiga berbanding nombor dua bulan sebelumnya.

Konsistensi prestasi jualan Bezza juga membolehkan jualan kumulatif untuk tiga bulan pertama (YTD) tahun ini mencecah 22,955 unit, memintas Saga yang jatuh ke tempat kedua dengan jumlah jualan YTD mencapai 21,690 unit. Axia yang terjual sebanyak 17,661 unit untuk tiga bulan pertama tahun ini kini berada di tempat ketiga.

Kembali ke jualan bulanan untuk Mac, Myvi berada di tempat keempat dengan 4,514 unit didaftarkan (13,650 YTD). Proton X50 nampaknya berada dalam kedudukan yang sangat kuat dengan berada di tempat kelima, terjual sebanyak 2,860 unit sepanjang Mac (7,089 unit YTD).

20 kereta paling laris Mac 2026 – Bezza no.1, Saga jatuh no.3, X50 no.5, permintaan Hilux masih tinggi

Seperti biasa JPJ mencampurkan sekali jumlah jualan bagi model Honda City sedan dan Hatchback, dan merekodkan pendaftaran sebanyak 2,743 unit pada Mac (5,232 unit YTD) untuk berada di tempat keenam.

Tempat ketujuh hingga ke-10 dipenuhi dengan kenderaan dari jenama nasional, iaitu Perodua Alza terjual sebanyak 2,474 unit (8,691 unit YTD), Proton S70 ke-lapan sebanyak 2,254 unit (5,798 unit YTD), Proton eMas 5 ke-sembilan sebanyak 2,071 unit (6,701 unit YTD) dan Perodua Ativa sebanyak 1,920 unit (4,284 unit YTD).

Manakala bagi tempat ke-11 hingga 20, carta ini dikuasai oleh model-model dari jenama Jepun. Honda HR-V berada di tempat ke-11 dengan jualan 1,832 unit (3,503 unit YTD). Walaupun harga bahan api diesel kini semakin meningkat, permintaan terhadap Toyota Hilux nampak masih stabil di mana sebanyak 1,749 unit trak pikap berkenaan telah terjual bulan lalu (4,764 unit YTD) untuk berada di tempat ke-12.

20 kereta paling laris Mac 2026 – Bezza no.1, Saga jatuh no.3, X50 no.5, permintaan Hilux masih tinggi

Manakala MPV mewah Toyota Alphard berada di tempat ke-13 dengan rekod pendaftaran 1,606 unit (4,063 unit YTD) – seperti biasa, rekod untuk Alphard turut termasuk unit-unit yang dijual sebagai model recond dari Jepun. Sedan segmen-B Toyota Vios berada di tempat ke-14 dengan pendaftaran sebanyak 1,509 unit (3,745 unit YTD).

SUV segmen-B penuh Perodua Traz pula berada di tempat ke-15 dengan jualan 1,479 unit sepanjang Mac (5,090 unit YTD), diikuti Honda Civic di tempat ke-16 terjual sebanyak 1,322 unit (2,450 unit YTD), Toyota Corolla Cross di tempat ke-17 dengan jualan 895 unit (2,555 units YTD) dan Perodua Aruz di tempat ke-18 dengan 865 unit.

Jenama dari China nampaknya kurang menyerlah bulan lalu di mana Jaecoo J7 menjadi satu-satunya model dari negara berkenaan yang tersenarai dalam carta 20 terlaris ini, berada di tempat ke-19 dengan jualan 737 unit (2,165 unit YTD). Proton Persona yang mungkin ditamatkan pengeluarannya bila-bila masa tahun ini masih gagah berada di tempat ke-20 dengan terjual sebanyak 714 unit bulan lalu (2,556 unit YTD).

The post 20 kereta paling laris Mac 2026 – Bezza no.1, Saga jatuh no.3, X50 no.5, permintaan Hilux masih tinggi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts