Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telahpun mengeluarkan rekod pendaftaran kenderaan untuk bulan Oktober 2025. Dari rekod berkenaan, kami rangkumkan untuk anda 20 jenama kereta terlaris di Malaysia untuk bulan tersebut, dan juga jualan kumulatif tahunan untuk melihat kedudukan jenama-jenama ini dalam 10-bulan pertama 2025.

Untuk bulan Oktober 2025, empat jenama teratas iaitu Perodua, Proton, Toyota dan Honda mengekalkan kedudukan masing-masing dari bulan sebelumnya. Apa yang mengejutkan, BYD yang berada pada kedudukan ke-lapan pada bulan September melompat ke tangga ke-lima untuk Oktober dengan jualan sebanyak 1,748 unit.

Gergasi EV dari China tersebut memintas pesaing senegara iaitu Chery dengan jualan 1,347 unit, Omoda | Jaecoo (sub-jenama Chery) dengan jualan 1,310 unit dan juga Mitsubishi dengan jualan 1,210 unit. Prestasi BYD ini mungkin dipacu oleh sedan Seal 6 dan SUV Atto 2 di mana kedua-duanya menawarkan harga yang sangat kompetitif.

20 jenama kereta terlaris di Malaysia untuk Oktober 2025 – tujuh jenama China kini berada dalam senarai!

Bulan lalu juga menyaksikan Mazda berada di tempat ke-9 dengan jualan 849 unit, manakala jenama premium dari Eropah iaitu Mercedes-Benz melengkapkan carta 10-terlaris bagi Oktober 2025 dengan jumlah jualan 778 unit. BMW yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 655 unit pula berada di tempat ke-11, diikuti Tesla dengan rekod jualan 320 unit berada di tangga ke-12, jatuh tiga anak tangga berbanding September.

Oktober 2025 juga menyaksikan ada satu lagi jenama China yang masuk senarai 20 terlaris ini iaitu iCaur, merupakan satu lagi sub-jenama dari Chery yang berjaya menjual 310 unit kenderaan sepanjang bulan lalu. Buat masa sekarang iCaur hanya mempunyai satu model yang dijual di bilik pamerannya iaitu SUV EV 03 yang baru dilancarkan September lalu.

Ini bermaksud sudah ada tujuh jenama dari China yang berada dalam carta 20 jenama kereta terlaris di Malaysia iaitu BYD, Chery, Omoda | Jaecoo, Great Wall Motor, Zeekr, Jetour dan iCaur, di mana empat daripadanya adalah dari kumpulan Chery (termasuk Jetour, namun jenama ini berada dalam kumpulan pengurusan yang berbeza).

20 jenama kereta terlaris di Malaysia untuk Oktober 2025 – tujuh jenama China kini berada dalam senarai!

Untuk jumlah jualan kumulatif tahunan pula, Perodua masih sukar untuk dicabar di tempat pertama dengan jualan 10 bulan pertama tahun ini mencecah 289,210 unit. Jumlah tersebut masih lebih banyak sekiranya jumlah jualan bagi tiga jenama yang berada di tempat kedua hingga keempat (Proton, Toyota dan Honda) dihimpunkan sekali.

BYD pula masih berda di tempat kelapan untuk carta kumulatif ini dengan jualan sebanyak 10,165 unit, berada di belakang Omoda | Jaecoo (14,892 unit), Mitsubishi (11,490 unit) dan Chery (10,389 unit). Mercedes-Benz berada di tempat kesembilan dengan 7,644 unit, diikuti Mazda dengan 7,110 unit bagi melengkapkan carta 10-terlaris untuk 10 bulan pertama 2025.

The post 20 jenama kereta terlaris di Malaysia untuk Oktober 2025 – tujuh jenama China kini berada dalam senarai! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts