BYD terus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia bagi bulan September 2025 dengan 1,028 unit didaftarkan. Jumlah ini menjadikan jualan tahunan keseluruhan setakat ini (YTD) mencecah 8,417 unit. Sejak Januari tahun ini, jenama dari China itu tidak pernah tergugat di tempat teratas dan angka terbaru ini merupakan kali keenam BYD berjaya melepasi paras 1,000 unit dalam satu bulan.
Kini, BYD menawarkan tujuh model EV di pasaran tempatan, termasuk model terbarunya, Seal 6 EV, yang mula dijual hujung September lalu. Sebagai perbandingan, Proton hanya menawarkan satu model EV iaitu eMas 7, manakala eMas 5 baru dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran bermula sekitar RM60,000. Meskipun begitu, Proton masih kukuh di tempat kedua dengan 757 unit didaftarkan pada bulan September dan jumlah keseluruhan 6,212 unit setakat ini.
Di tempat ketiga, Tesla mencatatkan 685 unit didaftarkan untuk bulan tersebut, menjadikan jumlah YTD kepada 3,847 unit. Ia merupakan prestasi kedua terbaik Tesla tahun ini selepas lonjakan besar pada bulan Mei dengan 1,075 unit. Kedudukan tiga teratas ini kekal tidak berubah sejak Ogos lalu, namun terdapat perkembangan menarik dalam senarai selepas itu.
Salah satu pencapaian menonjol datang daripada Zeekr, yang mencatatkan peningkatan ketara kepada 293 unit berbanding bulan sebelumnya. Kenaikan ini didorong oleh penghantaran model 7X yang dilancarkan pada penghujung Ogos. Jumlah ini merupakan pencapaian bulanan tertinggi Zeekr tahun ini, menjadikan jumlah terkumpulnya kepada 972 unit.
Xpeng turut menunjukkan peningkatan dengan 137 unit didaftarkan, membolehkannya mengekalkan kedudukan kelima dengan jumlah keseluruhan 979 unit. Di tempat keenam pula ialah BMW dengan 98 unit didaftarkan sepanjang September, menjadikan jumlah YTD sebanyak 1,215 unit.
Porsche turut mencatatkan peningkatan apabila melonjak dari tempat kesepuluh ke ketujuh dengan 78 unit, menjadikan jumlah keseluruhan tahun ini kepada 545 unit. Seperti biasa, angka ini dijangka merangkumi kenderaan recond yang turut direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai pendaftaran sah.
Seterusnya, jenama mewah di bawah BYD iaitu Denza naik satu anak tangga ke tempat kelapan dengan 63 unit (850 unit YTD), diikuti oleh Chery di tempat kesembilan dengan 60 unit (554 YTD) dan Leapmotor melengkapkan sepuluh teratas dengan 53 unit (278 YTD).
Di luar kelompok sepuluh teratas, Volvo mencatatkan 47 unit dan kini di tempat kesebelas dengan jumlah YTD sebanyak 418 unit, manakala MINI turun ke kedudukan ke-12 dengan 44 unit (471 YTD)
Antara kemunculan baru dalam senarai ialah iCaur, yang memperkenalkan model pertamanya iaitu iCaur 03, sebuah SUV elektrik berkonsep lasak, pada awal September. Sebanyak 34 unit didaftarkan pada bulan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 37 unit – angka ini dijangka termasuk unit yang didaftarkan untuk tujuan pemasaran atau ujian jalanan.
Honda turut mencatat pendaftaran 34 unit, hasil jualan satu-satunya model EV mereka iaitu e:N1, dengan jumlah YTD kini sebanyak 76 unit.
MG berada di tempat ke-15 dengan 32 unit (439 YTD), diikuti oleh Great Wall Motor dengan 20 unit (276 YTD) dan Mercedes-Benz di tempat ke-17 dengan hanya 15 unit – angka terendah bagi jenama itu setakat ini pada tahun ini – dengan jumlah keseluruhan 542 unit.
Melengkapkan senarai 20 jenama EV terlaris di Malaysia ialah Dongfeng dengan 14 unit (100 YTD), smart dengan tujuh unit (186 YTD) – juga angka terendah tahun ini – dan Audi dengan enam unit, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 54 unit.
The post 20 jenama EV paling laris September 2025 – BYD, Proton, Tesla di tiga tempat teratas, Zeekr keempat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.