Data pendaftaran kereta baharu untuk bulan Januari 2026 dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dah pun dikeluarkan, dan ini adalah senarai 20 EV paling laris di Malaysia sepanjang bulan lalu yang dibuat berdasarkan data berkenaan.

Proton nampaknya mula memghantar tempahan-tempahan pelanggan yang menempah eMas 5 dalam skala besar bulan lalu, membolehkan EV mampu milik yang dilancarkan Oktober tahun lalu itu menjadi EV paling laris pada Januari 2026 dengan jumlah pendaftaran sebanyak 3,068 unit. Jumlah yang agak besar ini juga membolehkan eMas 5 menjadi kereta nombor lima paling laris di Malaysia bulan lalu, lebih laris dari banyak model-model yang digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman.

Tempat kedua dengan jurang yang jauh adalah Zeekr 7X yang terjual sebanyak 426 unit, diikuti BYD Atto 3 di tempat ketiga dengan jumlah pendaftaran sebanyak 389 unit. SUV dengan inspirasi retro iCaur V23 pula terjual sebanyak 268 unit untuk berada di tempat keempat, manakala satu lagi model EV Proton iaitu eMas 7 terjual sebanyak 208 unit sepanjang Januari 2026 untuk berada di tempat ke-lima.

Seterusnya dua model BYD iaitu Sealion 7 (196 unit) dan Seal 6 (195 unit) masing-masing di kedudukan ke-enam dan ke-tujuh, diikuti iCaur 03 (183 unit) ke-lapan, Leapmotor B10 (100 unit) ke-sembilan dan Tesla Model 3 ke-10 dengan 91 unit.

20 EV terlaris di Malaysia Jan 2026 – eMas 5 no.1, terjual lebih 3k unit, Perodua QV-E tiada pendaftaran

Top 20 EV models Malaysia Jan 2026-1

Satu lagi model Tesla iaitu Model Y berada di tempat ke-11 dengan jualan sebanyak 85 unit. Tempat ke-12 adalah MG4 (85 units), diikuti EV mewah Mercedes-Benz EQS dengan 80 unit, dan satu lagi EV MG S5 di tempat ke-14 dengan jumlah jualan 78 unit.

Melengkapkan senarai 20 EV terlaris bagi Januari 2026 ini adalah Xpeng G6 (72 unit), Leapmotor C10 (71 unit), Zeekr 009 (59 units), BYD Atto 2 (56 units), Denza D9 (55 units) dan BYD M6 (53 units).

Ada yang tercari-cari berapa jumlah Perodua QV-E terjual? EV dari Rawang tersebut tidak langsung tidak mencatatkan sebarang rekod pendaftaran sepanjang bulah Januari 2026 walaupun ia telah mengumpulkan sebanyak 205 tempahan sehingga awal Februari ni.

Ini berkemungkinan berkaitan dengan masalah vendor-vendor Perodua di China yang menghasilkan komponen yang tidak menepati standard yang Perodua tetapkan, menyebabkan produksi model tersebut terjejas di Malaysia seperti yang diberitahu oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad sebelum ini.

Namun Perodua telah menyatakan jumlah jualan bagi QV-E ini akan bertambah dari masa ke masa, khususnya pada bulan Jun nanti ketika Perodua mula menawarkan QV-E dalam versi yang telah dilokalisasikan sepenuhnya, membolehkan EV ini dijual pada harga lebih rendah sehingga bermula RM60,000 termasuk bateri.

The post 20 EV terlaris di Malaysia Jan 2026 – eMas 5 no.1, terjual lebih 3k unit, Perodua QV-E tiada pendaftaran appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts