Makluman buat penumpang LRT Laluan Kelana Jaya, Prasarana mengumumkan bahawa terdapat 10 stesen LRT Laluan Kelana Jaya, antara KLCC dan Gombak, akan dibuka lewat jam 9 pagi berbanding kebiasaannya jam 6 pagi, untuk setiap Sabtu dan Ahad, mulai 9 Ogos hingga 14 September 2025. Prasarana berkata, waktu operasi yang diselaraskan ini adalah bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf sistem semboyan untuk Fasa 2 bagi laluan berkenaan dijalankan dengan lancar.

Sebaik sahaja kerja-kerja itu selesai, naik taraf bagi Fasa 3 pula dijadualkan dari 11 Oktober hingga 22 November akan menyaksikan waktu operasi hujung minggu (dan cuti umum) yang melibatkan 17 stesen antara Lembah Subang dan Ampang Park, termasuk KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek dan KLCC, laporan New Straits Times.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (strategi dan pembangunan), Prodyut Dutt berkata, kerja-kerja naik taraf ini adalah untuk menggantikan sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) asal Laluan Kelana Jaya yang telah digunakan sejak tahun 1998.

“Kami sedang menaik taraf perisian sistem semboyan daripada versi 2 kepada versi 8, dan menggantikan perkakasan usang yang tidak lagi disokong oleh pengeluar. Ini akan meningkatkan keselamatan dengan ketara, membolehkan pengawalan tren yang lebih baik serta memastikan operasi yang lebih boleh dipercayai untuk tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.

10 stesen LRT Laluan Kelana Jaya hanya akan dibuka dari jam 9 pagi antara 9 Ogos hingga 14 September

Bagi mengurangkan kesulitan kepada penumpang, Prasarana akan memperkenalkan gabungan tren ulang-alik, bas dan van perantara sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf dijalankan, kata Ketua Pegawai Operasi Prasarana, Nor Azmi Mohd Yusof.

Beliau berkata tren ulang-alik terhad akan beroperasi antara Pasar Seni dan Kampung Baru pada selang masa antara 10 hingga 20 minit, dan penumpang yang ingin meneruskan perjalanan selepas stesen Kampung Baru boleh menggunakan dua perkhidmatan bas ulang-alik khas sepanjang Fasa 2 kerja-kerja naik taraf.

Bas Laluan 2 akan berhenti di semua stesen yang terjejas antara Dang Wangi dan Gombak, termasuk KLCC, Ampang Park, Damai, Dato Keramat, Jelatek, Setiawangsa, Sri Rampai, Wangsa Maju, Taman Melati dan Gombak.

10 stesen LRT Laluan Kelana Jaya hanya akan dibuka dari jam 9 pagi antara 9 Ogos hingga 14 September
10 stesen LRT Laluan Kelana Jaya hanya akan dibuka dari jam 9 pagi antara 9 Ogos hingga 14 September

Klik untuk besarkan

Terdapat juga Bas Laluan 3, yang akan beroperasi sebagai perkhidmatan henti-terhad, dengan hentian hanya di Dang Wangi, KLCC, Ampang Park, Setiawangsa, Sri Rampai dan Wangsa Maju. “Ia adalah untuk menawarkan alternatif yang lebih pantas bagi penumpang jarak jauh,” katanya.

Beliau menambah bahawa lima van perantara juga akan disediakan untuk beroperasi antara Kampung Baru dan KLCC bagi menampung penumpang yang memerlukan pengangkutan jarak pendek ke pusat bandar. Van-van ini akan beroperasi secara berterusan dari jam 6 pagi hingga 9 pagi pada hujung minggu, tanpa perlu membuat tempahan awal.

Prasarana menganggarkan seramai 7,000 penumpang akan terjejas sepanjang Fasa 2 kerja-kerja naik taraf sistem semboyan ini, dan jumlah ini dijangka meningkat kepada sekitar 20,000 penumpang semasa Fasa 3.

The post 10 stesen LRT Laluan Kelana Jaya hanya akan dibuka dari jam 9 pagi antara 9 Ogos hingga 14 September appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts